30 January 2014

Pelaburan Swasta di Malaysia: Pemacu dan Kemampanan


Pengenalan

Berikutan penurunan ketara pelaburan swasta di Malaysia akibat dilanda Krisis Kewangan Asia 1997/98, pemulihannya yang beransur-ansur selepas krisis tersebut telah terhenti seketika disebabkan oleh beberapa episod kejutan permintaan global. Ini termasuk meletusnya Gelembung Teknologi (Tech Bubble) pada tahun 2001, tersebarnya wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003, dan krisis kewangan global pada tahun 2008/09 (Global Financial Crisis, GFC). Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh pelaburan swasta kepada ekonomi Malaysia adalah lebih sederhana sepanjang tempoh 2001-2011 dan hanya mencakupi purata 11.8% daripada KDNK berbanding dengan purata pelaburan swasta yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 22.9% daripada KDNK pada tempoh 1990-an. Namun, sejak suku keempat tahun 2011, pelaburan swasta telah muncul sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan negara. Dengan mencatat pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2012 (22%), sumbangan pelaburan swasta telah meningkat kepada 15.5% daripada KDNK pada tahun 2012. Momentum pertumbuhan yang kukuh ini mencerminkan sebahagian daripada peralihan yang sedang berlaku dalam ekonomi Malaysia, terutamanya pengukuhan penggunaan swasta dan pempelbagaian dalam struktur eksport Malaysia. Pelaburan swasta bukan sahaja meraih manfaat daripada trend ini, malah turut memperteguh peralihan struktur ini, lantas menyumbang kepada pengukuhan permintaan dalam negeri dan pempelbagaian selanjutnya dalam sumber pertumbuhan ekonomi. Memandangkan pelaburan swasta memainkan peranan penting untuk menambah kapasiti produktif ekonomi, mempercepat kemajuan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan, justeru rencana ini bertujuan membincangkan penentu utama yang menyumbang kepada peningkatan pelaburan swasta. Penilaian juga dibuat mengenai kemampanan pelaburan swasta pada masa hadapan dan implikasi yang mungkin ada terhadap pertumbuhan ekonomi.

Kajian teori dan penemuan empirikal

Bagi menentukan pendorong utama pelaburan swasta di Malaysia, beberapa model yang telah pun dibentangkan digunakan sebagai rujukan iaitu: (i) Accelerator model; (ii) model keuntungandijangka; (iii) model neoklasik Jorgenson; dan (iv) model Tobin’s Q1. Kebanyakan daripada modelmodel ini menekankan pentingnya faktor asas, seperti permintaan, keberuntungan, penggunaan kapasiti dan kos modal, bagi menjelaskan trend pelaburan swasta. Kajian yang lebih terkini juga mengambil kira penentu lain seperti ketidakpastian ekonomi dan ketersediaan pembiayaan. Kajian empirik sedia ada menunjukkan bahawa pengeluaran, keuntungan dan tahap penggunaan kapasiti secara amnya memberikan kesan positif terhadap pelaburan swasta. Selain itu, keberuntungan yang lebih tinggi dan akses kepada pembiayaan yang lebih meluas memudahkan pelaburan swasta dengan adanya pembiayaan yang lebih tinggi. Kadar faedah yang lebih tinggi dan ketidakpastian ekonomi juga dijangka akan memberikan kesan negatif terhadap pelaburan swasta. Kadar faedah yang lebih tinggi akan meningkatkan kos pinjaman bank dan seterusnya kos modal atau kos melepas perolehan tertahan, manakala ketidakpastian ekonomi pada tahap yang tinggi mungkin mengakibatkan pelaburan ditangguhkan ataupun dikurangkan.

Penentu utama pelaburan swasta di Malaysia

Untuk menganalisis penentu utama pelaburan swasta di Malaysia, regresi linear dianggarkan
dengan menggunakan strategi pemodelan am-hingga-khusus (general-to-specific modelling),
dengan tumpuan diberikan pada penentu pelaburan penting yang dibincangkan dalam kajian
sedia ada. Selaras dengan penemuan empirikal sedia ada, hasil anggaran menunjukkan bahawa, terdapat empat faktor utama yang memberikan kesan ketara terhadap pelaburan swasta, iaitu:

(i) Keberuntungan syarikat; 
(ii) kadar penggunaan kapasiti2; 
(iii) ketersediaan pembiayaan; dan
(iv) tahap ketidakpastian ekonomi.

sumber rujukan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/ar/bm/2012/cp04_003_renca na.pdf