Sejak beberapa tahun yang lalu, saham telah menjadi instrumen pelaburan yang semakin popular. Walau bagaimanapun, ramai yang kehilangan sebahagian besar pendapatan mereka apabila pasaran saham merudum. Sekiranya anda bertanya kepada rakan-rakan anda, pasti ramai di antara mereka yang melabur dalam saham. Namun, jika anda bertanya lebih lanjut, anda akan mendapati bahawa ramai di antara mereka yang tidak tahu-menahu mengenai saham yang mereka beli. Jangan terkejut jika ada yang mengakui bahawa satu-satunya sebab mereka melabur dalam pasaran saham ialah kerana “orang lain pun beli”, tanpa mengambil inisiatif untuk memahami asas-asas pelaburan saham.
Menetapkan matlamat kewangan anda
Melabur sebenarnya bermaksud membuat wang bekerja untuk anda untuk mencapai matlamat kewangan anda. Oleh itu, sebelum mula melabur, anda perlu menetapkan matlamat kewangan anda dengan bertanya kepada diri sendiri “Apakah jenis pulangan yang saya harapkan berdasarkan keperluan kewangan saya?”
Matlamat yang anda tetapkan haruslah realistik, munasabah dan boleh diukur. Sebagai contoh, menetapkan sasaran pulangan 8% setahun bolehlah dianggap munasabah dan sesuatu yang boleh diukur. Manakala, menetapkan sasaran seperti “Saya mahukan pulangan yang lebih tinggi berbanding dengan pulangan rakan-rakan saya” pula adalah suatu sasaran yang tidak cukup khusus.
Mempertimbangkan risiko dan pulangan
Apabila berbincang tentang pelaburan, kita perlu memikirkan mengenai risiko dan pulangan, kerana kedua-duanya saling berkaitan. Jumlah pulangan yang anda harapkan bergantung sebahagian besarnya kepada risiko yang anda sanggup dan mampu untuk ditanggung.
Cara termudah untuk mentakrifkan risiko ialah kemungkinan kehilangan wang yang anda dilaburkan. Apabila risiko yang ditanggung lebih tinggi, pulangan yang dijangkakan juga akan lebih tinggi disebabkan premium yang dibayar kepada anda untuk risiko tinggi yang ditanggung itu. Walau bagaimanapun, tahap risiko yang mampu ditanggung seseorang itu bergantung kepada peringkat kehidupannya berapa umurnya dan juga situasi kewangannya. Seorang profesional yang berusia 30-an mungkin boleh mengambil risiko yang lebih tinggi berbanding dengan seorang pesara yang bengantung kepada wang simpanannya. Begitu juga, seseorang yang memiliki pendapatan boleh guna dan simpanan yang tinggi mampu menanggung risiko yang lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai simpanan yang sedikit ataupun tidak mempunyai sebarang simpanan sama sekali.
Bilakah saham sesuai dijadikan instrumen pelaburan?
Secara amnya, saham lebih sesuai dijadikan pelaburan jangka masa sederhana dan jangka masa panjang kerana sifat semula jadi saham itu sendiri yang sentiasa berubah-ubah dalam jangka masa pendek. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai keperluan kewangan jangka masa pendek, pastikan anda mengasingkan jumlah wang yang diperlukan dalam deposit bank jangka masa pendek sebelum melabur dalam pasaran saham. Jangan sesekali mengharapkan pulangan dari pelaburan saham untuk jangka masa pendek, kerana apabila anda terdesak dan memerlukan wang serta terpaksa menjual saham yang anda pegang, pasaran saham mungkin berada dalam keadaan menurun dan sekaligus menyebabkan anda menanggung kerugian.
Pelaburan berbanding Spekulasi
Sebagai seorang pelabur dalam pasaran saham, anda juga perlu memahami dan membezakan antara pelaburan dan spekulasi. Ada orang yang inginkan keuntungan segera dalam jangka masa pendek dengan membeli saham yang menjadi rebutan ramai dalam pasaran pada sesuatu masa. Walau bagaimanapun, jual beli saham sebenarnya memerlukan kemahiran dan tahap disiplin yang tinggi. Malangnya, ramai pelabur cuba mengejar keuntungan daripada perubahan harga saham dengan bergantung kepada maklumat ataupun khabar angin yang dipercayai akan menaikkan harga saham mereka. Jual beli seperti ini melibatkan risiko yang sangat tinggi, kerana anda mungkin mendapat keuntungan yang lumayan ataupun sebaliknya mengalami kerugian yang teruk.
Anda tidak seharusnya mencemburui keuntungan yang diperolehi oleh rakan-rakan anda yang melabur berdasarkan spekulasi. Ini kerana, kajian telah menunjukkan bahawa dalam jangka masa panjang, mereka yang terlibat dalam spekulasi lazimnya akan mendapat pulangan yang lebih rendah ataupun negatif, manakala mereka yang menetapkan matlamat kewangan dan berdisiplin dalam mencapai matlamat mereka memperoleh pulangan yang lebih memuaskan. Apa yang paling penting ialah disiplin dalam mematuhi matlamat yang telah anda tetapkan. Jangan bersifat tamak – anda tidak akan berjaya mengatasi pasaran dengan sentiasa berharap untuk membeli pada harga terendah dan menjual pada harga tertinggi.
Membeli saham seumpama membeli sesuatu perniagaan. Pastikan anda memberi tumpuan kepada perniagaan tersebut dan memiliki pandangan jangka masa panjang untuk saham-saham yang telah anda beli. Anda perlu memilih saham yang memberikan dividen yang baik dan berpotensi untuk berkembang agar anda dapat memperolehi untung modal yang lebih tinggi. Selagi saham yang anda beli menunjukkan prestasi yang diharapkan, anda bolehlah mengekalkan pegangan anda dalam saham tersebut untuk jangka masa yang panjang.